Ucapan Rasmi Datuk Rosnah Rashid Shirlin,
Sempena Program Sembang Petang,
Sihat Bersama Rakan Facebook, Twitter Dan Media.
Sempena Program Sembang Petang,
Sihat Bersama Rakan Facebook, Twitter Dan Media.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya saya diizinkan untuk bertemu dengan rakan-rakan Facebook, rakan Twitter dan rakan media yang sememangnya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda semua untuk menerima jemputan saya menghadiri majlis yang serba sederhana. Kesediaan dan keikhlasan anda semua untuk hadir pada majlis ini hakikatnya adalah peluang untuk kita semua memanjangkan silaturrahim, saling berkenalan dan bersua rupa.
Rakan-rakan yang saya hormati
Walaupun zaman teknologi maklumat membawa kepada pertemuan kita semua hari ini, namun saya ingin kembali kepada seni tradisional supaya kita tidak lupa jati diri, supaya kita sentiasa ingat bahawa secanggih mana pun teknologi tetapi kita semua masih terikat dengan budaya dan budi bahasa. Oleh yang demikian, izinkan saya menghadiahkan rakan-rakan dengan 2 rangkap pantun :
Makan nasi berulam papaya
Selesai makan bertukar kata
Semalam kita bertemu di alam maya
Hari ini bertentang mata
Bertentang mata janganlah malu
Peluang bertemu tidak selalu
Terima kasih kepada rakan-rakanku
Menyambut jemputan untuk bertemu.
Tentu rakan-rakan semua tertanya-tanya mengapa saya mengungkapkan pantun lapan kerat itu. Sebenarnya saya ingin mengingatkan diri sendiri dan diri rakan-rakan semua tentang keindahan budi dan bahasa yang ada dalam masyarakat kita. Peringatan ini penting supaya kita semua tidak terlalu obses dengan bahasa-bahasa ringkas yang sering digunakan dalam FB dan Twitter. Kadang-kadang oleh kerana terlalu ringkas sampai kita sendiri tidak faham terutamanya kalangan remaja yang ada cara serta istilah-istilah tersendiri untuk berinteraksi sesama mereka. Saya bimbang jika perkembangan ini tidak diawasi akan member kesan kepada bahasa ibunda kita yang hakikatnya kaya dengan lenggok serta maksud tersendiri.
Saya juga bimbang jika anak-anak kita, adik-adik kita berterusan menggunakan istilah yang tidak betul, mereka akan terbawa-bawa dalam penulisan di sekolah sekaligus melunturkan bahasa ibunda yang sepatutnya menjadi lambang jiwa bangsa. Justeru saya amat berharap rakan-rakan yang hadir pada hari ini dapat mengawasi dan meneliti bahasa-bahasa yang digunakan oleh adik-adik kita baik di FB, Twitter mahu pun ketika berinteraksi secara lisan sesama rakan-rakan sebaya. Begitu juga ketika bersms. Tegurlah mereka jika ada kesilapan dalam menggunakan bahasa.
Rakan-rakan yang saya sayangi
Pertemuan hari ini sesungguhnya amat bermakna bagi diri saya. Sejak membuka akaun FaceBook dan berTwitter, saya akui rasa semakin dekat dengan golongan muda yang berminat untuk mengetahui perkembangan saya sebagai anggota Pentadbiran dan ahli politik. Menerusi FaceBook saya sentiasa dapat mengemaskini apa yang sedang saya lakukan. Bukan itu saja setiap kali saya menulis status, saya akan mendapat maklum balas segera berhubung sesuatu isu. Saya tidak perlu menunggu lama untuk mengetahui apakah maklum balas orang ramai terhadap perkembangan semasa yang sering saya kongsi bersama di status FB saya.
Tentunya dengan ada FB dan Twitter kita tidak dapat menipu orang yang mengikuti perkembangan kita. Mereka sentiasa meneliti di mana kita berada dan tidak mustahil setiap pergerakan kita turut menjadi perhatian. Sebab itu bagi saya FB dan Twitter mengajar kita menjadi lebih telus dan bertanggungjawab terhadap apa saja yang kita tulis. Kedua-dua laman FB dan Twitter juga juga sebenarnya mengajar kita supaya mempunya keyakinan diri kerana orang akan membuat penilaian sama ada apa yang kita tulis sama dengan apa yang kita laksanakan. Oleh itu FB dan Twitter hakikatnya menawarkan pelbagai perkara positif walaupun ada pihak mengambil kesempatan menyalahgunakannya untuk memfitnah dan menipu orang lain.
Paling ketara sekali kesan positif lama sosial ini adalah kita dapat bertemu dengan rakan-rakan lama, kita juga dapat membina rangkaian rakan-rakan baru biar pertemuan hanya berlangsung di alam maya. Bayangkan kita dapat bersembang secara langsung dengan rakan-rakan di negara lain menerusi FB. Bukan sekadar bersembang, kita dapat berkongsi gambar tentang apa saja aktiviti yang kita lakukan. Kadangkala biar pun tidak bertentang mata dengan rakan-rakan FB yang baru dikenali, namun saya dapat merasakan jalinan hubungan yang terjalin terutamanya apabila ada yang sentiasa mengambil berat bertanyakan khabar dan mendoakan supaya saya sentiasa sihat.
Hadirin yang saya hormati
Sebab itu saya menyifatkan diri saya amat bertuah kerana tautan persahabatan yang terjalin menerusi FB dan Twitter membibitkan jalinan persaudaraan sesama kita sehingga membawa kepada pertemuan yang sangat bermakna hari ini.
Lebih daripada itu bagi saya amat penting adalah rakan-rakan media yang sentiasa memberi kerjasama kepada saya. Rakan-rakan media yang berusaha memberi peluang dan ruang kepada saya sehingga sampai ke peringkat ini. Tanpa rakan-rakan media, saya tidak mampu merealisasikan apa yang saya inginkan. Sepanjang penglibatan saya dalam Puteri UMNO dan juga di kementerian, Alhamdulillah saya sentiasa mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari rakan-rakan media. Terima kasih di atas sokongan anda semua.
Pertemuan secara bertentang mata tentunya membuka ruang yang lebih luas untuk kita beramah mesra, jangan pula apabila bertentang mata lidah kelu nak berkata-kata. Jika ada pertanyaan yang terpendam di hati, inilah harinya untuk luahkan segala-galanya. Jika ada idea untuk dikongsi kearah memantapkan Pergerakan Puteri UMNO atau berhubung kait dengan kementerian saya, maka saya kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan. Hari ini adalah hari untuk saya dan anda semua bermesra, bertukar cerita dan berkenalan dengan lebih lanjut lagi.
Ikhlas saya katakana tanpa anda semua siapalah saya. Sokongan rakan-rakan semua memberi kekuatan kepada saya untuk terus berbakti kepada masyarakat. Harapan saya pertemuan kita tidak terhenti setakat hari ini. Akan ada lagi pertemuan-pertemuan lain menyusul untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita selain menambah lagi rangkaian rakan-rakan yang pastinya membantu kita mencanai dan bertukar idea untuk kebaikan kita semua.
Saya tidak mahu berceloteh panjang kerana tidak sabar-sabar untuk beramah mesra dengan rakan-rakan semua. Terima kasih tidak terhingga sekali lagi saya ucapkan kepada rakan-rakan semua kerana sudi menjadikan pertemuan kita di alam maya kepada pertemuan secara realiti. Peluang untuk beramah mesra dan bersantai bersama-sama ini tidak akan saya lupakan dan sentiasa saya hargai.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment